February 13, 2012

PATUTKAH BERKAHWIN AWAL



Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)

Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.

1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?

Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?

2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?

Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam dapat elaun biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin $25 atau $50 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.

Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)

3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?

Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam agama Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.

Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)

4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?

Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.

Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)

5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?

Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.

6. Macam mana dengan restu ibu bapa?

Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.

Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)

February 11, 2012

Contohi Rasulullah S.A.W.


1. Makan apabila berasa lapar dan jangan sampai terlalu kenyang
2.Satu pertiga bahagian perut adalah untuk makanan
3. Berpuasa sunat 11 hari dalam sebulan
4. Perbanyakkan sembahyang sunat selain daripada sembahyang fardhu
5. Sembahyang dan berzikir selepas makan
6. Berjalan kaki selepas sembahyang Asar.
7. Makan buah-buahan sebelum memakan makanan yang berat
8. Makan malam sebelum Maghrib.
1.Makan hanya apabila lapar, dan berhenti sebelum kenyang. 
Dalam satu hadis ada disebut ” Kami adalah kaum yang tidak akan makan kecuali bila merasa lapar dan apabila kami makan, maka tidak sampai sekenyang-kenyangnya” (ketika menolak tawaran untuk diberikan tabib atau doktor oleh Raja Mesir ketika itu).
2.Satu pertiga bahagian daripada perut adalah untuk makanan.
Rasulullah saw, telah mengajar cara untuk makan dan minum dengan membahagikan perut kepada tiga bahagian; iaitu sepertiga bahagian perut untuk makanan, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiga akhir adalah  untuk udara (nafas).
3.Banyakkan Berpuasa
Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: ” .. berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat (Hadis Riwayat Tabrani). Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam Tirmizi).”
Abu Hurairah r.a. juga pernah menceritakan; “Temanku (yakni Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkanku dengan tiga perkara; 1. Berpuasa tiga hari pada setiap bulan. 2. Mengerjakan dua rakaat solat dhuha. 3. Menunaikan solat witir sebelum aku tidur”.(Hadith Riwayat oleh Imam Bukhari dan Muslim)
4. Memperbanyakkan sembahyang
Dalam hadis ada disebut “Sembahyanglah,nescaya sihatlah kamu. Sembahyang boleh menguatkan dan menyihatkan tubuh badan, kerana pada zahirnya, dalam ibadah sembahyang itu terdapat banyak pergerakan,  seperti berdiri, rukuk dan sujud. Sembahyang berdiri adalah sembahyang yang mempunyai banyak pergerakan berbanding dengan sembahyang duduk atau sembahyang dalam keadaan tidur (baring), selain dari mempunyai pergerakan yang banyak yang lebih menyihatkan badan, sembahyang berdiri juga diberi ganjaran pahala yang lebih.  Ada orang yang menjaga kesihatannya tanpa berjogging hanya dengan melakukan  sembahyang 70 rakaat sunat pada setiap hari.
Terdapat banyak sembahyang sunat yang boleh dilakukan, misalnya 12 rakaat sunat Rawatib, 12 rakaat sunat Duha, 8 rakaat sunat Tahajjud, 6 rakaat sunat Awwabin (selepas Maghrib), 3 rakaat Witir. Selain itu boleh juga dilakukan sembahyang sunat selepas berwuduk, memasuki masjid atau sembahyang sunat mutlak (yang semata-mata kerana Allah tanpa ada sebab atau mengikut waktu)
5.Sembahyang atau berzikir selepas makan
Rasulullah s.a.w. juga bersabda “Hadamkanlah makanan dengan berzikir kepada Allah dan sembahyang, janganlah kamu tidur dengan kekenyangan, kerana ia boleh menyebabkan hati kamu menjadi keras (degil).  
Berzikir dapat membantu menghadamkan makanan, kerana ketika  berzikir ada pergerakan seperti menggoyangkan badan dan kepala, Selain dari berzikir, sembahyang juga membantu menghadamkan makanan kerana ketika sembahyang banyak pergerakan dilakukan seperti berdiri, rukuk, sujud.
6. Berjalan kaki selepas Asar
Amalan ini juga dilakukan oleh jemaah tabligh ketika menyebarkan dakwah . Penyebaran dakwah secara berjalan ini ada disebut di dalam hadis yang bunyinya lebih kurang “tidak ada satu rumah pun di Madinah yang aku tidak ketuk pintunya”.
7. Makan buah-buahan sebelum makan.
Makan buah-buahan yang ringan sebelum memakan makanan yang berat memudahkan proses penghadaman yang berlaku di dalam perut.
8. Makan malam sebelum Maghrib.
Adalah menjadi kebiasaan orang Arab terdahulu, mereka makan malam sebelum jatuh matahari atau  sebelum gelap.  Cara begini akan memberikan masa yang mencukupi untuk makanan menjadi hadham sebelum sampainya waktu tidur mereka, dan dengan cara ini juga boleh mengelakkan seseorang itu menjadi keras hati.

Bersabarlah


Sesungguhnya hanya Allah yang berhak mengambil dan hanya dialah yang berhak memberi, segala sesuatu telah digariskan ketentuannya di sisinya, maka bersabarlah dan harapkanlah pahalanya (Riwayat Ibnu Majah melalui Usamah Ibnu Zaid r.a.) 
Allah SWT berhak mengambil apa yang telah diberikan, kerana semuanya adalah milikNya, samada nyawa, rezeki, harta dan sebagainya. Kita sebenarnya tidak memiliki apa-apa, walaupun sehelai bulu roma sekalipun, ia adalah milik Allah.
Allah SWT juga berhak memberi sesuatu apabila tiba masanya. Maka bersabarlah dalam menanti pemberian Allah SWT. Bersabarlah dan teruskan berusaha dan berdoa. Kesabaran menanti itu pula akan diberikan pahala oleh Allah SWT. Oleh itu janganlah jemu berdoa kepadanya dalam meminta sesuatu kebaikan, kurniaan, rezeki dan sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda: Akan dimakbulkan doa salah seorang di antara kamu selagi dia tidak terburu-buru lalu dia mengatakan: Aku sudah berdoa namun tidak dimakbulkan bagiku (Riwayat Imam al-Bukhari).
Semua urusan termasuk urusan rezeki telah ditentukan di markas pentadbiran Allah di langit. Banyak atau sedikit rezeki yang akan diterima juga adalah ketentuan Allah.
Az-Zariyat [22] Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.
Seseorang itu belum mencapai hakikat keimanan selagi dia tidak menyakini bahawa keburukan yang melandanya adalah ketentuan Allah. Begitu juga sekiranya dia dihindarkan daripada sesuatu keburukan, itu juga adalah ketentuan Allah.
Riwayat Imam Ahmad melalui Abu Darda r.a,. Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya setiap sesuatu memiliki hakikat dan seseorang hamba masih belum mencapai hakikat keimanan sebelum dia mengetahui bahawa musibah yang menimpa dirinya bukanlah suatu kekeliruan dan yang tersasar darinya bukanlah merupakan hal yang seharusnya menimpa dirinya”

Share