Ramai diantara kita yang beragama Islam tanpa segan silu meminum arak malah berbangga dengan menceritakan kepada rakan-rakan akan kisah kehebatannya meminum arak.
Rasulullah s.a.w. telah melaknat sepuluh golongan manusia yang terlibat dengannya.
Anas r.a. berkata:
"Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan pemesannya." (Riwayat al-Tirmizi no. 1295, Abu Daud no. 3674, Ibn Majah no. 3381 dan Ahmad no. 316)
Apabila diteliti sepuluh golongan manusia yang tersenarai dalam hadis di atas, satu kesimpulan yang boleh dibuat iaitu setiap orang yang terlibat dengan arak pasti termasuk dalam laknat Baginda S.A.W.
Setiap sen yang diperoleh daripada sumber yang berkaitan dengan arak, pasti menjadi sebab hilangnya keberkatan dalam hidup seseorang. Bahkan ia menjadi punca keruntuhan akhlak dan institusi keluarga.
Masyarakat yang dalamnya wujud peminum arak akan terdedah kepada pelbagai masalah. Musibah terbesar pasti mengundang kemurkaan Allah S.W.T sekiranya tiada pihak yang cuba memeranginya.
Peminum arak sentiasa terdorong untuk melakukan jenayah-jenayah seperti memandu secara berbahaya, melakukan zina, bergaduh, membuat kacau dan sebagainya. Ini kerana apabila seseorang itu mabuk, pusat kawalan akalnya sudah tidak berfungsi dengan normal, lantas dia akan bertindak di luar kawalan akal tanpa disedarinya.
Benarlah sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Arak adalah ibu segala maksiat." (Riwayat al-Nasa'i no. 5666)
Amatlah benar pengharaman arak dalam ajaran Islam. Walaupun arak telah sebati dan menjadi minuman kegemaran masyarakat arak, Rasulullah S.A.W tidak pernah teragak-agak untuk menguatkuasakan pengharamannya.
Baginda mungkin berdepan dengan risiko dibenci oleh masyarakat arab dan juga risiko berkurangnya pendapatan negara Madinah daripada cukai arak, tetapi keutamaan diberikan demi mencari keredhaan Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah-Nya. Wawasan Baginda bukan sekadar berjaya di dunia, tetapi kemenangan hakiki adalah dengan mendapat syurga Allah S.W.T di akhirat kelak.
Bagaimana pula dengan kita????
No comments:
Post a Comment