November 30, 2011

Lelaki Idaman Wanita




Seorang lelaki yang aku idamkan 
Ialah seorang buta,bisu, bakhil dan papa… 
Biarlah dia seorang yang buta
Buta, Kerana matanya sunyi daripada melihat perkara-perkara maksiat dan lagha 
Kerana matanya terpelihara daripada memandang aurat wanita ajnabi 
Asalkan kedua matanya terang dalam memerhatikan keagungan ciptaan Allah 
Asalkan dia celik dalam melihat kesengsaraan umat Islam di Palestin, Ambon, Bosnia dan seumpananya 

Biarlah dia seorang bisu
Bisu, Bisu daripada pujuk rayu yang bisa menggoncang keimanan
Bisu daripada mengungkapkan ucapan yang bisa meracun fikiran 
Bisu daripada perkataan yang bisa mendatangkan kekufuran 
Asalkan bibirnya sentiasa basah mengingat Tuhan 
Asalkan lidahnya tidak pernah lekang dari membaca Al-Quran 
Asalkan dia petah membangkang kemungkaran
Dan lantang menyuarakan kebenaran 

Lelaki yang aku idamkan ialah seorang yg bakhil 
Bakhil, Bakhil dalam memberi senyuman 
Pada wanita yang bukan mahramnya 
Bakhil dalam meluangkan masa bertemu janji dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahinya 
Bakhil untuk menghabiskan wang hanya kerana seorang wanita yang tidak sepatutnya 
Tetapi dia begitu pemurah meluangkn masanya untuk beribadah kepada Khaliqnya 
Dia begitu pemurah untuk mempertahankan aqidahnya 
Pemurah dalam memberi nasihat dan teguran 
Sehingga dia sanggup menggadaikan hartanya
Bahkan nyawanya sendiri untuk melihat kalimah LAILAHAILALLAH
Kembali megah di muka bumi 

Lelaki yang aku idamkan adalah seorang yang papa 
Papa, Papa dalam melakukan perkara maksiat
Papa dalam ilmu-ilmu yang tak berfaedah dan bermanfaat 
Papa memiliki akhlak mazmumah 
Tapi dia cukup kaya dalam pelbagai ilmu pengetahuan 
Dia begitu kaya memiliki ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia 
Dia begitu kaya dengan sifat sabar dalam mengharungi tribulasi kehidupannya 
Dan dia seorang yang kaya dalam membina jati diri 
Dia mahu menjadi seorang syuhada 
Yang syahid di jalan Maha Esa

November 28, 2011

Bulan-Bulan Islam




1.           Muharam – Ertinya yang diharamkan atau menjadi pantang larang. Dinamakan Muharam kerana pada bulan tersebut dilarang menumpahkan darah atau berperang.
2.           Safar – Ertinya kosong. Penamaan bulan ini disebabkan pada bulan ini, semua lelaki arab di zaman dahulu pergi meninggalkan rumah untuk merantau, berniaga dan berperang sehingga tempat asal mereka tiada orang lelaki.
3.           Rabiul Awal – Ertinya berasal dari perkataan Rabi’ (menetap) Awal (pertama). Masa kembalinya kaum lelaki setelah meninggalkan rumah atau pergi merantau. Pada bulan ini juga berlaku banyak peristiwa bersejarah buat umat Islam.
4.           Rabiul Akhir – Ertinya masa menetap kaum lelaki di rumah untuk tempoh penghabisan.
5.           Jamadil Awal – Ertinya Jumadi (kering) dan Awal (pertama). Bulan ini merupakan awal musim kemarau.
6.           Jamadil Akhir – Ertinya musim kemarau yang berakhir.
7.           Rejab – Ertinya mulia. Ini kerana bangsa Arab masa dahulu sangat memuliakan bulan ini dan di antaranya ialah dilarang berperang di bulan Rejab.
8.          Sya’aban – Ertinya berkelompok. Orang Arab pada bulan ini lazimnya berkelompok untuk mencari nafkah. Peristiwa penting bagi umat Islam pada bulan ini adalah pertukaran kiblat umat Islam dari Baitul Maqdis ke Kaabah (Baitullah).
9.           Ramadan – Ertinya sangat panas. Bulan ini merupakan satu-satunya bulan yang tersebut dalam Al-Quran. Satu bulan yang punyai pelbagai kelebihan dan keutamaan. Ia melambangkan kesucian dan amat penting bagi umat Islam.
10.       Syawal – Ertinya kebahagiaan. Iaitu kembalinya manusia ke dalam fitrah (kesucian) selepas menunaikan ibadah puasa dan zakat fitrah.
11.        Zulkaedah – Ertinya Zul (pemilik) dan Kaedah (duduk). Bulan ini merupakan bulan istirehat bagi kaum lelaki Arab dahulu. Mereka menikmati istirehat di rumah di bulan ini.
12.        Zulhijjah – Ertinya menunaikan haji. Bulan ini merupakan bulan untuk menunaikan ibadah haji sejak dari Zaman Nabi Adam a.s.

November 27, 2011

Luangkanlah Sedikit Masa - Pesanan Terakhir Rasulullah S.A.W.



Kali ini aku ingin berkongsi Khutbah haji yang disampaikan oleh Rasulullah dengan penuh syahdu di Padang Arafah ketika Baginda mengerjakan Haji Wida’ bersama dengan lebih kurang 124ribu para sahabat sebelum kewafatan Baginda. Berikut adalah petikan khutbah haji wida’ Baginda Rasulullah S.A.W yang menjadi pedoman hidup seluruh umat Islam akhir zaman.
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak diatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah `ibadah Haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal solah.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.


Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.
Banyak sungguh panduan yang ada dalam Khutbah Haji Wida’ yang semestinya menjadi panduan dan pedoman untuk seluruh umat Islam akhir zaman. Setelah mendengar khutbah haji wida’ hampir semua Para Sahabat telah bertebaran keseluruh pelusok  dunia untuk menyampaikan pesanan. Daripada 124ribu hanya sekitar 10ribu Para Sahabat yang kuburnya berada di Mekah dan Madinah selainnya berada bertebaran diseluruh dunia. Atas usaha dan pengorbanan para sahabat lah kita di Nusantara mendapat nikmat yang MAHA besar iaitu nikmat IMAN kepada ALLAH S.W.T.
Marilah kita berazam untuk taat perintah Allah dengan cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W untuk kejayaan di dunia dan akhirat.

Alasan Kebiasaan Si Pendedah Aurat




1. Walaupun dedah aurat, diri masih menjaga maruah dan tidak melakukan perkara tak senonoh?

”Janganlah nilai orang dari luarannya. Don’t judge a book by its cover!”
"Walaupun tidak pakai tudung, saya tetap masih jaga solat dan menjaga tingkah laku"
Jawapan:
Adakah anda mendakwa diri anda mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin maruah diri tanpa perlu menutup aurat? Tetapi adakah anda berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat aurat anda mempunyai hati sesuci dan iman setinggi anda juga? Langsungkah mereka tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka yang berada di hadapan anda? Jadi, perlu diberi kefahaman bahawa kewajipan wanita menutup aurat bukanlah semata-mata untuk menjaga maslahat dan maruah pihak wanita itu sendiri, tetapi maslahah yang lebih besar ialah menjaga masyarakat yang berada di sekelilingnya agar tidak terfitnah disebabkan budaya mendedahkan aurat. Betapa banyak kes-kes jenayah rogol dan cabul berpunca daripada wanita sendiri yang mempamerkan tubuh badannya yang terdedah di hadapan khalayak lelaki. Maka tutuplah aurat bukan sekadar untuk anda, tetapi juga demi kemaslahatan orang lain di sekeliling. [1]


2. Perempuan yang bertudung lebih teruk daripada tak bertudung?
"Ala… perempuan pakai tudung pun berperangai buruk!"
“Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung!”
“Ada seorang kakak tu pakai tudung, tapi perangai buruk, mengumpat sana mengumpat sini”
“Siapa kata orang tak pakai tudung semua jahat?”
Jawapan:
Ungkapan anda ini seolah-olah sedang memperlekehkan insan yang sedang berusaha mentaati perintah Allah (dalam bab tutup Aurat). Apakah anda perasan bahawa anda sudah lebih baik berbanding insan yang menutup aurat tersebut apabila anda berani melafazkan ungkapan seperti itu, sedangkan anda sendiri membiarkan aurat anda terbuka? Salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan untuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik. Nabi bersabda: Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya. (HR At-Tirmidzi) [2]


3. Tidak mahu hipokrit bila bertudung?
"Bertudung ni perlukan keikhlasan…"
“Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh.”
“Buat apa pakai tudung kalau hati tak betul”
Jawapan:
Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah WAJIB untuk menutup aurat tidak kira sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri. Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Sekiranya ikhlas dijadikan alasan maka, ramai diluar sana tidak perlu solat 5 waktu kerana sukar mencapai tahap keikhlasan yang ingin dicapai.
Perlu diingatkan, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir. Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya, tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat. Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki. [3]


4. Menunggu seru untuk bertudung?
“Biarlah ianya datang daripada saya sendiri, bukan dipaksa sesiapa. Bila tiba masa, Insyaallah saya bertudung”
“Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang”
“Insyaallah, apabila sudah berkahwin barulah saya bersedia”
Jawapan:
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah? Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi. [3]

Tudung Kepala Atau Tudung Saji?




Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita sebenarnya terlalu mahal kerana syariat Allah telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.
Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.
Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat.
Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.
Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?
Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.
Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.
Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.
Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.
Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.
Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.
Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.
Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada’ dan qadar dari Allah.
Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.
Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui “Islam is really beautiful.” Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.
Moga mendapat manfaat…

Share