February 11, 2012

Selawat sebagai amalan harian


Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Al-Ahzab: 56)
Allah SWT berselawat adalah bermaksud Allah mencucuri rahmat ke atas Rasulullah s.a.w. Malaikat dan orang yang beriman pula, apabila berselawat, ia bermaksud mendoakan dan memohon agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Nabi kita Muhammad s.a.w.  Maksud rahmat ialah kasihan belas Allah SWT.
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا
Dalam ayat tersebut, kita (orang beriman) diperintahkan oleh Allah SWT supaya berselawat kepada Nabi, sehinggakan apabila khatib berkhutbah menyebut “Sollu”, dalam khutbah Jumaat, maka kita berselawatlah ke atas Baginda secara perlahan.
Kewajiban berselawat ialah sekali seumur hidup, sepertimana melafazkan dua kalimah syahadah. Jika seseorang berselawat dengan satu (1) kali selawat ke atas Baginda Mulia, seseorang itu akan mendapat ganjaran pahala sebanyak 10 kali.
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, sesiapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) “. (Riwayat Al Baihaqi)
Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda “Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan. (Hadis Riwayat Ahmad).
Sesiapa yang berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, sesiapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan dia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)
Tawaduknya Rasulullah s.a.w.
Hakikatnya Baginda tidak perlu kepada selawat kita dan cukuplah selawat daripada Allah SWT, tetapi beginilah tawadduk dan mulianya akhlak nabi kita ini.
Al-Qalam [4] Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.
Rasulullah s.a.w. sendiri pernah meminta Sayyidina Umar berdoa untuknya semasa beliau mengerjakan ibadat umrah, begitulah tawadduknya Baginda Mulia.
Dalam sebuah hadis disebutkan, bahawa Umar bin al-Khattab berkata: Ertinya: “Aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahualaihi wasallam untuk melakukan umrah. Nabi mengizinkan dan bersabda: Wahai Saudaraku, sertakan kami dalam doamu (ketika menunaikan umrah), janganlah engkau lupakan kami.”(Riwayat At-Tirmizi)
Baginda Mulia juga meminta kita mendoakannya selepas mendengar azan:
Sesiapa yang mendengar azan dan membaca doa (yang bermaksud….“Wahai Allah, dengan berkat seruan yang sempurna ini dan dengan berkat sembahyang yang didirikan, kurniakanlah kepada penghulu kami Nabi Muhammad wasilah dan kelebihan dan bangkitkanlah Baginda di Maqam Mahmud“, dia akan mendapat syafaatku di hari kiamat. (Riwayat dari Jabir Bin Abullah.)
Baginda tetap meminta kita berdoa untuknya walaupun Baginda telah diampunkan:
Al-Fath [2] Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).
Berselawat dan membaca quran dalam keadaan lalai sekalipun, tetap diberikan pahala.
“Sesiapa yang membaca Al-Quran dan melafazkan selawat secara lalai, Allah masih memberi gandaan pahala setinggi bukit dan malaikat masih mendoakan kebaikan bagi si pembaca”.
Sebaliknya doa yang dilakukan secara lalai tidak diterima oleh Allah SWT.
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan engkau yakin ia akan dikabulkan, ketahuilah bahwa Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai”. (Hadith riwayat al-Tirmidzi)
Apatah lagi jika selawat dan baca quran itu dilakukan dengan secara khusyuk atau “hadir hati” (ingat pada Allah), maka sudah tentu lebih besar pahalanya. Oleh itu bersihkan hati dan berselawatlah dengan ikhlas.
Banyakkan Berselawat
Buatlah jadual harian untuk berselawat ke atas Nabi, samada di waktu pagi atau petang atau bila-bila masa sahaja.
Orang yang paling diutamakan di Alam Mahsyar nanti ialah orang yang paling banyak berselawat. Di dunia dia mungkin seorang hamba, tetapi di syurga dia menjadi tetamu Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (Hadis Riwayat Ibn Mas’ud r.a)
Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya syafaatku untuk ummatku yang melakukan dosa-dosa besar (kecuali mereka yang mati dalam keadaan syirik dan tidak bertaubat darinya).
Rasulullah s.a.w. akan hadir dan berada dekat semasa timbangan amal dilakukan ke atas umatnya. Jika timbangan dosa mereka lebih berat dari amalan, maka Baginda akan meletakkan sesuatu sebesar jarinya untuk memberatkan timbangan amalan. Jika ianya masih tidak mencukupi maka Baginda akan memberikan syafaat (recommendation).
Lafaz selawat yang paling afdhal adalah seperti yang diucapkan semasa tahiyyat dalam sembahyang kerana itulah lafaz yang diajarkan oleh Baginda.

No comments:

Post a Comment

Share