February 28, 2012

Sedarlah Perempuan



Perempuan yang perasan cantik akan menggedik dengan lelaki,
Perempuan yang perasan cantik akan suka membuka auratnya,
Perempuan yang perasan cantik akan mula make up tebal-tebal,
Perempuan yang perasan cantik akan tunjuk semua gambarnya pada lelaki,
Perempuan yang perasan cantik akan merasakan dirinya paling 'cute',
Perempuan yang perasan cantik akan rasa diri dia paling ramai peminat,

Sedangkan HAKIKAT KECANTIKAN wanita ialah:

Muslimah yang cantik tidak akan menggedik dengan lelaki,
Muslimah yang cantik tidak akan membuka auratnya,
Muslimah yang cantik tidak perlu make up tebal-tebal,
Muslimah yang cantik tidak akan tunjuk wajahnya pada lelaki bukan mahram,
Muslimah yang cantik akan sentiasa rasa dirinya biasa-biasa saja,
Muslimah yang cantik akan merasa terhina apabila dirinya dikelilingi 'kumbang',

Kecantikan wanita tidak bererti andai tiada iman, taqwa dan ilmu padanya. Tariklah perhatian Allah, bukan menarik perhatian lelaki yang tidak halal bagi kamu..

Cinta Pada Allah


Setiap saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan untuk berbisik-bisik dengan kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta pada Tuhan sehingga ada hamba Allah yang berkata, “Wahai Tuhan, aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu. tapi kerana Zat-Mu, Ya Allah, Aku rela masuk neraka kalau itulah kemahuan-Mu.”
Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul Adawiyah dalam munajatnya dengan Allah. Dia menyatakan dua cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada tempat lagi untuk cinta selain dari itu.
Ada orang mengatakan: “jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya . tapi kalau hati yang pecah itu diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan- Nya. Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di akhirat.”
Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan yang besar pada Allah, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain di samping-Nya. Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan di dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah Taala yang patut kita letakkan.. Ambil masa untuk kita bermuhasabah…

Mimpi Abu Laits As-Samarqandi



Abu Laits As-Samarqandi adalah seorang ahli feqah yang mashyur. Antara karyanya yang sangat terkenal hingga kini adalah kitab Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi orang-orang yang lalai).
Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima “petunjuk” dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka beliau salah seorang yang menerima petunjuk melalui mimpi itu, pada suatu malam beliau bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat.
Engkau dikehendaki berbuat demikian:-
1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah.
2. Engkau sembunyikan.
3. Engkau terimalah.
4. Jangan engkau putuskan harapan.
5. Larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, beliau itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.
Beliau kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka beliau itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka beliau pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas beliau itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya.
Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Beliau itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka beliau berkata itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari olehnya, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Hamba Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri beliau itu sambil berkata, "Wahai Hamba Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Maka beliau itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, beliau meneruskan perjalananya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.
Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah beliau ke rumahnya. Pada malam itu, beliau pun berdoa.
Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawasanya:-
1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-gata tentang dirimu."
Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

February 13, 2012

PATUTKAH BERKAHWIN AWAL



Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)

Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.

1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?

Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?

2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?

Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam dapat elaun biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin $25 atau $50 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.

Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)

3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?

Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam agama Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.

Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)

4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?

Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.

Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)

5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?

Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.

6. Macam mana dengan restu ibu bapa?

Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.

Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)

February 11, 2012

Contohi Rasulullah S.A.W.


1. Makan apabila berasa lapar dan jangan sampai terlalu kenyang
2.Satu pertiga bahagian perut adalah untuk makanan
3. Berpuasa sunat 11 hari dalam sebulan
4. Perbanyakkan sembahyang sunat selain daripada sembahyang fardhu
5. Sembahyang dan berzikir selepas makan
6. Berjalan kaki selepas sembahyang Asar.
7. Makan buah-buahan sebelum memakan makanan yang berat
8. Makan malam sebelum Maghrib.
1.Makan hanya apabila lapar, dan berhenti sebelum kenyang. 
Dalam satu hadis ada disebut ” Kami adalah kaum yang tidak akan makan kecuali bila merasa lapar dan apabila kami makan, maka tidak sampai sekenyang-kenyangnya” (ketika menolak tawaran untuk diberikan tabib atau doktor oleh Raja Mesir ketika itu).
2.Satu pertiga bahagian daripada perut adalah untuk makanan.
Rasulullah saw, telah mengajar cara untuk makan dan minum dengan membahagikan perut kepada tiga bahagian; iaitu sepertiga bahagian perut untuk makanan, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiga akhir adalah  untuk udara (nafas).
3.Banyakkan Berpuasa
Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: ” .. berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat (Hadis Riwayat Tabrani). Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam Tirmizi).”
Abu Hurairah r.a. juga pernah menceritakan; “Temanku (yakni Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkanku dengan tiga perkara; 1. Berpuasa tiga hari pada setiap bulan. 2. Mengerjakan dua rakaat solat dhuha. 3. Menunaikan solat witir sebelum aku tidur”.(Hadith Riwayat oleh Imam Bukhari dan Muslim)
4. Memperbanyakkan sembahyang
Dalam hadis ada disebut “Sembahyanglah,nescaya sihatlah kamu. Sembahyang boleh menguatkan dan menyihatkan tubuh badan, kerana pada zahirnya, dalam ibadah sembahyang itu terdapat banyak pergerakan,  seperti berdiri, rukuk dan sujud. Sembahyang berdiri adalah sembahyang yang mempunyai banyak pergerakan berbanding dengan sembahyang duduk atau sembahyang dalam keadaan tidur (baring), selain dari mempunyai pergerakan yang banyak yang lebih menyihatkan badan, sembahyang berdiri juga diberi ganjaran pahala yang lebih.  Ada orang yang menjaga kesihatannya tanpa berjogging hanya dengan melakukan  sembahyang 70 rakaat sunat pada setiap hari.
Terdapat banyak sembahyang sunat yang boleh dilakukan, misalnya 12 rakaat sunat Rawatib, 12 rakaat sunat Duha, 8 rakaat sunat Tahajjud, 6 rakaat sunat Awwabin (selepas Maghrib), 3 rakaat Witir. Selain itu boleh juga dilakukan sembahyang sunat selepas berwuduk, memasuki masjid atau sembahyang sunat mutlak (yang semata-mata kerana Allah tanpa ada sebab atau mengikut waktu)
5.Sembahyang atau berzikir selepas makan
Rasulullah s.a.w. juga bersabda “Hadamkanlah makanan dengan berzikir kepada Allah dan sembahyang, janganlah kamu tidur dengan kekenyangan, kerana ia boleh menyebabkan hati kamu menjadi keras (degil).  
Berzikir dapat membantu menghadamkan makanan, kerana ketika  berzikir ada pergerakan seperti menggoyangkan badan dan kepala, Selain dari berzikir, sembahyang juga membantu menghadamkan makanan kerana ketika sembahyang banyak pergerakan dilakukan seperti berdiri, rukuk, sujud.
6. Berjalan kaki selepas Asar
Amalan ini juga dilakukan oleh jemaah tabligh ketika menyebarkan dakwah . Penyebaran dakwah secara berjalan ini ada disebut di dalam hadis yang bunyinya lebih kurang “tidak ada satu rumah pun di Madinah yang aku tidak ketuk pintunya”.
7. Makan buah-buahan sebelum makan.
Makan buah-buahan yang ringan sebelum memakan makanan yang berat memudahkan proses penghadaman yang berlaku di dalam perut.
8. Makan malam sebelum Maghrib.
Adalah menjadi kebiasaan orang Arab terdahulu, mereka makan malam sebelum jatuh matahari atau  sebelum gelap.  Cara begini akan memberikan masa yang mencukupi untuk makanan menjadi hadham sebelum sampainya waktu tidur mereka, dan dengan cara ini juga boleh mengelakkan seseorang itu menjadi keras hati.

Bersabarlah


Sesungguhnya hanya Allah yang berhak mengambil dan hanya dialah yang berhak memberi, segala sesuatu telah digariskan ketentuannya di sisinya, maka bersabarlah dan harapkanlah pahalanya (Riwayat Ibnu Majah melalui Usamah Ibnu Zaid r.a.) 
Allah SWT berhak mengambil apa yang telah diberikan, kerana semuanya adalah milikNya, samada nyawa, rezeki, harta dan sebagainya. Kita sebenarnya tidak memiliki apa-apa, walaupun sehelai bulu roma sekalipun, ia adalah milik Allah.
Allah SWT juga berhak memberi sesuatu apabila tiba masanya. Maka bersabarlah dalam menanti pemberian Allah SWT. Bersabarlah dan teruskan berusaha dan berdoa. Kesabaran menanti itu pula akan diberikan pahala oleh Allah SWT. Oleh itu janganlah jemu berdoa kepadanya dalam meminta sesuatu kebaikan, kurniaan, rezeki dan sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda: Akan dimakbulkan doa salah seorang di antara kamu selagi dia tidak terburu-buru lalu dia mengatakan: Aku sudah berdoa namun tidak dimakbulkan bagiku (Riwayat Imam al-Bukhari).
Semua urusan termasuk urusan rezeki telah ditentukan di markas pentadbiran Allah di langit. Banyak atau sedikit rezeki yang akan diterima juga adalah ketentuan Allah.
Az-Zariyat [22] Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.
Seseorang itu belum mencapai hakikat keimanan selagi dia tidak menyakini bahawa keburukan yang melandanya adalah ketentuan Allah. Begitu juga sekiranya dia dihindarkan daripada sesuatu keburukan, itu juga adalah ketentuan Allah.
Riwayat Imam Ahmad melalui Abu Darda r.a,. Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya setiap sesuatu memiliki hakikat dan seseorang hamba masih belum mencapai hakikat keimanan sebelum dia mengetahui bahawa musibah yang menimpa dirinya bukanlah suatu kekeliruan dan yang tersasar darinya bukanlah merupakan hal yang seharusnya menimpa dirinya”

Selawat sebagai amalan harian


Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Al-Ahzab: 56)
Allah SWT berselawat adalah bermaksud Allah mencucuri rahmat ke atas Rasulullah s.a.w. Malaikat dan orang yang beriman pula, apabila berselawat, ia bermaksud mendoakan dan memohon agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Nabi kita Muhammad s.a.w.  Maksud rahmat ialah kasihan belas Allah SWT.
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا
Dalam ayat tersebut, kita (orang beriman) diperintahkan oleh Allah SWT supaya berselawat kepada Nabi, sehinggakan apabila khatib berkhutbah menyebut “Sollu”, dalam khutbah Jumaat, maka kita berselawatlah ke atas Baginda secara perlahan.
Kewajiban berselawat ialah sekali seumur hidup, sepertimana melafazkan dua kalimah syahadah. Jika seseorang berselawat dengan satu (1) kali selawat ke atas Baginda Mulia, seseorang itu akan mendapat ganjaran pahala sebanyak 10 kali.
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, sesiapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) “. (Riwayat Al Baihaqi)
Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda “Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan. (Hadis Riwayat Ahmad).
Sesiapa yang berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, sesiapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan dia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)
Tawaduknya Rasulullah s.a.w.
Hakikatnya Baginda tidak perlu kepada selawat kita dan cukuplah selawat daripada Allah SWT, tetapi beginilah tawadduk dan mulianya akhlak nabi kita ini.
Al-Qalam [4] Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.
Rasulullah s.a.w. sendiri pernah meminta Sayyidina Umar berdoa untuknya semasa beliau mengerjakan ibadat umrah, begitulah tawadduknya Baginda Mulia.
Dalam sebuah hadis disebutkan, bahawa Umar bin al-Khattab berkata: Ertinya: “Aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahualaihi wasallam untuk melakukan umrah. Nabi mengizinkan dan bersabda: Wahai Saudaraku, sertakan kami dalam doamu (ketika menunaikan umrah), janganlah engkau lupakan kami.”(Riwayat At-Tirmizi)
Baginda Mulia juga meminta kita mendoakannya selepas mendengar azan:
Sesiapa yang mendengar azan dan membaca doa (yang bermaksud….“Wahai Allah, dengan berkat seruan yang sempurna ini dan dengan berkat sembahyang yang didirikan, kurniakanlah kepada penghulu kami Nabi Muhammad wasilah dan kelebihan dan bangkitkanlah Baginda di Maqam Mahmud“, dia akan mendapat syafaatku di hari kiamat. (Riwayat dari Jabir Bin Abullah.)
Baginda tetap meminta kita berdoa untuknya walaupun Baginda telah diampunkan:
Al-Fath [2] Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).
Berselawat dan membaca quran dalam keadaan lalai sekalipun, tetap diberikan pahala.
“Sesiapa yang membaca Al-Quran dan melafazkan selawat secara lalai, Allah masih memberi gandaan pahala setinggi bukit dan malaikat masih mendoakan kebaikan bagi si pembaca”.
Sebaliknya doa yang dilakukan secara lalai tidak diterima oleh Allah SWT.
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan engkau yakin ia akan dikabulkan, ketahuilah bahwa Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai”. (Hadith riwayat al-Tirmidzi)
Apatah lagi jika selawat dan baca quran itu dilakukan dengan secara khusyuk atau “hadir hati” (ingat pada Allah), maka sudah tentu lebih besar pahalanya. Oleh itu bersihkan hati dan berselawatlah dengan ikhlas.
Banyakkan Berselawat
Buatlah jadual harian untuk berselawat ke atas Nabi, samada di waktu pagi atau petang atau bila-bila masa sahaja.
Orang yang paling diutamakan di Alam Mahsyar nanti ialah orang yang paling banyak berselawat. Di dunia dia mungkin seorang hamba, tetapi di syurga dia menjadi tetamu Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (Hadis Riwayat Ibn Mas’ud r.a)
Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya syafaatku untuk ummatku yang melakukan dosa-dosa besar (kecuali mereka yang mati dalam keadaan syirik dan tidak bertaubat darinya).
Rasulullah s.a.w. akan hadir dan berada dekat semasa timbangan amal dilakukan ke atas umatnya. Jika timbangan dosa mereka lebih berat dari amalan, maka Baginda akan meletakkan sesuatu sebesar jarinya untuk memberatkan timbangan amalan. Jika ianya masih tidak mencukupi maka Baginda akan memberikan syafaat (recommendation).
Lafaz selawat yang paling afdhal adalah seperti yang diucapkan semasa tahiyyat dalam sembahyang kerana itulah lafaz yang diajarkan oleh Baginda.

Hati Yang disukai Allah S.W.T.


Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah Taala mempunyai bekas yang berada pada penduduk bumi dan bekas tuhan kamu adalah hati hamba-hambanya yang soleh, dan diantara mereka yang paling disukainya adalah yang paling lemah-lembut hatinya” (Riwayat Thabrani)Amalan dinilai mengikut niat dan keihlasan hati.  Bentuklah hati dan latihlah hati supaya sentiasa mengingati Allah. Allah menyukai mereka yang lemah-lembut hatinya.
Sifat lemah-lembut adalah sifat Allah dan juga para nabi. Dalam sebuah hadith disebut “hampir semua orang yang lemah-lembut menjadi nabi”. Setiap nabi bakal ditentang oleh umatnya dalam menyampaikan dakwah mereka. Para nabi akan dituduh dengan pelbagai tuduhan seperti gila, ahli sihir, dirasuk jin, penyair, pawang dan sebagainya. Orang yang tidak mempunyai sifat lemah-lembut tidak akan mampu bersabar dengan tuduhan-tuduhan seperti ini.
Ali-Imran [159] : Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah Subhanahuwata’ala (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu… 
Mereka yang lemah-lembut hatinya juga mempunyai kasihan belas dan bersikap prihatin, walaupun terhadap binatang. Sesiapa yang mengamalkan dan mempraktikkan sifat prihatin ini, ia akan dikasihani Allah SWT dan sesiapa yang tidak mengamalkannya, ia tidak akan mendapat kasihan belas dari Allah SWT. Oleh itu tingkatkanlah sifat keperihatinan kerana ia mempunyai kedudukan yang sangat tinggi.

February 09, 2012

Kesederhanaan Rasulullah S.A.W.


Rasulullah saw tidur hanya beralaskan belulang iaitu kulit yg diisi pelepah tamar. Siti Aisyah r.a berkata bahawa alas tidur Rasulullah SAW adalah daripada kulit yang diisi dengan serabut [Riwayat Bukhari]. Apabila tidur, baginda berbaring disebelah kanan dan meletakkan tapak tangan kanannya dibawah pipinya.
Diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud  RA bahawa Rasulullah SAW tidur di atas tikar dan bangun selepas itu dalam keadaannya badannya  berbekas. Lalu dibawa kepadanya oleh sahabat hamparan yang lembut, Rasulullah SAW bersabda: Apakah kedudukan aku di dunia ini? Tidakkah aku di dunia ini melainkan seumpama seorang pengembara yang berteduh di bawah pokok kemudian berlalu meninggalkannya.
Sunnah Nabi ialah semasa makan ialah duduk di atas lantai dan bukannya di meja. Tidaklah salah makan di meja, cuma tidak mengikut sunnah. Semasa makan, Nabi duduk seperti duduk tahiyyat pertama atau duduk ‘bertinggung’.
Baginda tidak mempunyai meja makan. Makanan diletak di atas lantai. Baginda menyuap makanan yang ada dengan 3 jari. Baginda tidak pernah mencela makanan. [Riwayat Bukhari dan Muslim].
Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata: Aku melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam duduk bertinggung sambil makan kurma. Duduk bertinggung ialah duduk di atas kedua tapak kaki dengan kedua-dua kaki berlipat dan punggung tidak menjejak tanah.
Aisyah r.a berkata, “Kadangkala sebulan berlalu namun kami tidak menyalakan api di dapur,. Kami hanya makan kurma dan air sahaja kecuali jika ada seseorang yang menghadiahkan sedikit daging kepada kami” [Riwayat Bukhari]
Rasulullah SAW hidup dalam keadaan yang amat sederhana, walaupun bukit dan gunung-ganang yang ada di sekitarnya pernah di tawarkan agar ia dijadikan emas dan perak, akan tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan tetap memilih cara hidup yang sederhana.
Diriwayatkan dari Aisyah, Rasulullah S.A.W. berkata kepadaku ” Sesungguhnya Allah menawarkan kepadaku dataran Mekkah untuk dijadikan emas dan diberikan kepadaku, maka aku menolaknya, lalu aku berkata : Aku tidak mengharapkan itu semuanya Ya Allah, akan tetapiaku lebih senang sehari lapar dan sehari kenyang. Tatkala hari yang aku merasakan lapar, aku merendah diri dan berdo’a kepada-Mu, sementara tatkala hari yang aku merasakan kenyang, aku bersyukur dan memuji-Mu “

Perjanjian dengan Allah S.W.T.


Baqarah [83[ : Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil(dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.
Semasa setiap manusia dicipta oleh Allah Subhanahuwata'ala , mereka telah membuat satu perjanjian awal bahawa mereka akan menyembah Allah Subhanahuwata'ala .
Al-A’raf [172] : Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): bukankah Aku tuhan kamu?Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.
Perjanjian utama ialah perjanjian menyembah Allah Subhanahuwata’ala,  dan cara menyembah Allah Subhanahuwata’ala ialah melalui ibadat sembahyang.
Sembahyang adalah ibadat yang mula diperkenalkan sejak zaman Nabi Adam. Bezanya sembahyang umat dahulu hanya 2 waktu sahaja (sebelum naik matahari dan selepas jatuh matahari), manakala umat Nabi Muhammad saw, bersembahyang 5 waktu.
Paderi-paderi Kristian dan Yahudi telah mengubah cara sembahyang mereka yang asal. Golongan Kristian sembahyang hanya berlutut (sepatutnya mereka sujud)  manakala golongan Yahudi pula sembahyang dengan menghantukkan kepala ke dinding (sepatutnya mereka rukuk). Di dalam sembahyang mereka, tidak ada pergerakan duduk, bangun, rukuk dan sujud. Mereka mengikut hawa nafsu mereka. Mereka juga telah mengubah waktu sembahyang dan puasa mengikut nafsu mereka. Bukan itu sahaja, kitab injil dan taurat pun mereka ubah mengikut rekaan hawa nafsu mereka.
Maryam [59] : Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam Neraka),
Perbandingan sembahyang di anatara umat Islam, Yahudi dan Nasrani
Dari Abdullah bin Umar r.a (katanya) Rasulullah saw bersabda, sesungguhnya ajal (umur) kamu (umat Islam) berbanding dengan umat-umat yang telah lepas, adalah (sama) dengan waktu di antara solah Asar hingga jatuh matahari, dan bandingan di antara kamu dengan Yahudi, Nasrani adalah seperti seorang yang mengupah seorang melakukan kerja.
Kata (pemberi upah) siapa yang sanggup buat kerja untuk saya (dari pagi sampai tengah hari dengan upah) satu qirat? Maka kaum Yahudi melakukan (kerja tersebut) sempai ke tengah hari dengan upah satu qirat. 
Kemudian (pemberi upah tersebut) bertanya lagi, siapakah yang sanggup kerja untuk saya dari tengah hari sehingga waktu solah Asar, dengan upahan satu qirat? Maka kaum Nasrani melakukan kerja itu, dari tengah hari sampai waktu solah Asar dengan mendapat upah satu qirat. 
Kemudian (pemberi upah tersebut) bertanya lagi, siapakah yang sanggup kerja untuk saya dari waktu solah Asar hingga Maghrib, dengan upah dua qirat? Ketahuilah bahawa kamulah mereka yang melakukan kerja dari waktu solah Asar hingga Maghrib, Ketahuilah bahawa bagi kamu dua kali ganda pahala,
Maka kaum Yahudi dan Nasrani menjadi marah (di hari kiamat), mereka berkata, kami buat kerja lebih (kerana masa panjang) dan upah pula sedikit, lalu Allah Subhanahuwata’ala  (bertanya mereka) “Adakah Aku telah menzalimi kamu dari hak kamu?” Mereka menjawab “Tidak”.
Allah Subhanahuwata’ala  berfirman, itu kelebihan Ku (upah lebih) yang Aku kurniakan kepada siapa yang Aku mahu (iaitu kepada umat Muhammad saw).
WAllahualam.

Share